Sunday 13 January 2013

Laungan Kata "Rakyat" Di Hari Kebangkitan


1. Kata "rakyat" berkumandang di hari kebangkitan. Malah memang pun hari itu adalah hari rakyat. Kalimat rakyat dirayakan , disanjung , diperkasakan. Rakyat disebut pada slogan berkali kali oleh pengacara , diulang ungkap oleh para pemidato , disebut dalam puisi seorang sasterawan negara , didendangkan oleh seorang artis , dicatat oleh pelbagai kelompok pada kertas dan kain rentang , dicatat dalam 10  pengistiharaan dalam Perhimpunan ,  diperaga pada setiap baju yang dipakai gah untuk melambangkan hari ini , hari rakyat.

2. Memang kalimat rakyat sangat keramat pada hari itu. Suara rakyat  mengegarkan stadium tua yang layak dikembalikan ruh asalnya. Stadium yang melahirkan rakyat dan nusa merdeka. Kebangkitan rakyat yang mengukir sejarah besar , malah mahu melakar episod lebih besar lagi. Lebih bersejarah lagi.

3, Medan itu adalah medan milik rakyat. Tiada siapapun yang berani menentang arus gelombang rakyat ketika itu. Stadium itu seolah ibu tua yang sudah lama menunggu putera dan puterinya yang telah ratusan purnama tidak menjenguk. Disini rakyat diasuh kalimat merdeka. Dibesarkan dengan pesan . Negara ini milik rakyat .

4. Malah seakan kembali disaat 31 hb Ogos 1957 . Merdeka diulang tayang. Dipertegaskan sekali lagi. Kali ini bilangannya selautan manusia. Yang tua bertongkat , yang cacat disorong , yang sakit dipapah, rakyat berbangsa berjalan seiring menuju ke stadium khazanah Negara  . Menapak penuh bangga. Penuh harap. Hari ini adalah hari rakyat. Semua mahu menjadi sebahgian dari sejarah gemilang itu. Mahu diperhitungkan. Biar tidak berpangkat atau bergelar. Yang tua , muda , remaja , yang sudah bersara mahupun yang maseh berkuliah .Cukup dengan kata-kata "Aku ada disana ketika itu! "

5. Angin perubahan dirasai benar. Meniup kencang. Nampak beragam warna , kuning , oren , hijau , merah , hitam melakukan riak gelombang manusia bersama dan berirama. Namun tetap melambangkan diri rakyat yang sejati. Rakyat yang sudah sedia berazam dan nekad. Bukan untuk melampiaskan amuk ganas tetapi untuk menyatakan gelombang ini sudah siap melakukan tsunami kedua. Bermula di ibu kota.

6. Kata Pak Samad, semua menjeritkan: Janji Demokrasi, ya, Janji Demokrasi!. Walau dihalang pada sambutan kemerdekaan untuk rakyat mengalir ke Dataran Merdeka , kini rakyat berhimpun di Stadium Merdeka. Menyatakan tanpa gagap , rakyat tidak mahu menjadi manusia hamba , mahupun manusia ciplak.

RAKYAT BANGKIT, MALAYSIA BERUBAH

Wassalam...

No comments:

Post a Comment