Sunday 30 December 2012

Padangan Fauzi Muda amat meleset - merujuk Kenyataan beliau di Akhbar Sinar

1. Saya ingin merujuk kepada pandangan Saudara Fauzi Muda di dalam media cetak Sinar Edisi Perak pada hari ini yang bertajuk "Tiga Cabang PKR bergolak".

2. Secara ringkasnya, saya menyatakan bahawa beliau kini tiada mempunyai sebarang kredibiliti politik bagi membuat sebarang bentuk kenyataan lebih-lebih jika ianya berkaitan dengan Parti Keadilan Rakyat Negeri Perak.

3. Di sini, saya dengan tegasnya mengutarakan bahawa tiada satupun kenyatan yang diberikan olehnya di dalam media Sinar keluaran hari ini boleh dikategorikan sebagai kenyataan yang benar. Ianya adalah suatu kenyataan yang berbaur fitnah dan rekaan semata-mata.

4. Saya juga percaya dan yakin bahawa ahli-ahli PKR khususnya di dalam negeri Perak mahupun kesemua penyokong Pakatan Rakyat sudah mengenali karakter Fauzi Muda dan siapakah beliau yang sebenarnya dan sudah pasti kesemuanya akan mengklasifikasikan kenyataan oleh orang sedemikian adalah sebagai pembikin fakta yang dikategorikan sebagai "Pulp Fiction" atau "Fiksyen yang Lembik".

5. Saya hanya mampu menasihati agar Fauzi Muda agar segera kembali kepada didikan Islam yang sebenarnya dan kembali ke Jalan Yang diredhai oleh Allah Azza Wa Jalla, agar beliau segera insaf daripada terus berbohong kepada ummat. 

6. Oleh yang demikian, sekiranya mana-mana pihak yang sudi mendapatkan penjelasan yang tepat dan benar bolehlah menghubungi saya secara terus dan fakta yang tepat akan diperolehi.

7. Dengan demikian, marilah kita kembali Insaf dan merujuk kepada maksud Allah di dalam Ayat ke-6 Surah AlHujurat:

49:6
Sahih International

O you who have believed, if there comes to you a disobedient one with information, investigate, lest you harm a people out of ignorance and become, over what you have done, regretful.
Malay
Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini - dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) - sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan. 

Saturday 29 December 2012

Isu 1 - Masjid Al Jabariah, Lambor Kiri, Bota - Kenapa pembaikpulihan Masjid ini lewat dan tertangguh?

1. Amat mengecewakan. Bilamana usaha da'wah Islamiyah di Bota, Perak semuanya dilewatkan.

2. Saya merujuk kepada suatu Projek Pembangunan Transformasi Luar Bandar di mana kontraktor yang berkaitan ialah - MTBS Enterprise dengan Sijil Pendaftaran Projek ini ialah 0809 G20070103.

3. Nama Projek ini ialah - Menaiktaraf Masjid Al Jabariah, Lambor Kiri, Bota.

4. Projek ini sepatutnya bermula pad 01/09/2012 dan sepatutnya siap sepenuhnya pada 31/12/2012, tetapi setakat ini ianya boleh diklasifikasikan sebagai projek terbengkalai.

5. Inikah yang dikatakan - Rakyat Didahulukan? Inikan maksudnya - Janji diTepati?

6. Justeru pihak PLB Perak Tengah hendaklah mengambil tindakan yang tegas atau pihak kami akan mengambil tindakan susulan yang sewajarnya.

7. Entri ini adalah suatu saranan awal daripada pihak Parti Keadilan Rakyat, namun jika gesaan kami tidak diendahkan, tindakan susulan pasti akan menemui pihak-pihak yang bertanggungjawab.

Sekian dan Salam Hormat. 

Hijrah Bota! Rakyat Bangkit, Bota Berubah.

Monday 24 December 2012

Rakyat bangkit, Bota berubah

1. Dengan izin Allah saya yakin bahawa kita semua teguh dan percaya bahawasanya rakyat Bota akan bangkit untuk menuntut perubahan.

2. Kita amat dambakan suatu perubahan politik di Bota khususnya dan di negeri Perak pula kita yakin kita akan kekalkan kemenangan yang dikecapi pada 2008 yang lepas dan menambah maju jumlah kerusi di Dewan Undangan Negeri.

3. Masyarakat Cina hampir 90 perastus telah menolak Barisan Nasional. Kita juga yakin bahawa gabung jalin pimpinan Melayu di dalam PAS dan PKR di Perak akan menyebabkan lebih ramai lagi orang Melayu menolak kuasa politik BN.

4. Rata-rata atau hampir semuanya pemimpin UMNO telah korup. Semuanya hanya bercakap soal "berapa persen RM untuk aku", dan hal ini tentulah amat membimbangkan masyarakat Melayu. Rasuah telah menjadi darah daging dan budaya kehidupan dalam UMNO. 

5. Tak usahlah ada yang cuba menunjukkan bahawa mereka "bersih Rasuah" sedangkan mereka memiliki rumah yang besar dan kereta yang mewah yang mana punca kekayan itu adalah hasil daripada rompakan harta rakyat. 

6. Sesungguhnya masyarakat Melayu amat tahu apa yang sedang berlaku pada sikap dan budaya hidup pemimpin kelas atasan UMNO. Manakala, ahli UMNO peringkat akar umbi hanya menjadi pekerja dan orang susruhan oleh pimpinan atasan UMNO itu.

7. Ayuh rakan sekalian, saudara maraku, abang, kakak adik dan seluruh warga Bota dan Seri Iskandar; rakyat bngkit, Bota berubah.

Saturday 22 December 2012

Dari Bota ke Gaza: Kebangkitan Rakyat, di Timur dan di Barat

1. Kuasa politik di negeri Perak pada PRU 12 menunjukkan rakyat Perak bangkit untuk menumbangkan kuasa politik BN. Calon tajaan BN hanya menang di 28 kerusi DUN sahaja. Rakyat mengambil alih tampuk kuasa politik di dalam sistem pemerintahan kerajaan di negeri Perak.

2. Rupa-rupanya hal ini menjadikan sesuatu yang menakutkan khususnya golongan X yang selama ini secara rakus dan zalim mengenderai Parti BN untuk kepentingan ego diri dan kroni. Siapakah golongan X tersebut? Sila ikuti penulisan selanjutnya.

3. Pada sekitar Ogos 2008, kita digemparkan dengan isu rasuah seks yang melibatkan beberapa orang sahabat kita termasuk 2 orang wakil rakyat dan "subject matter"  isu tersebut semuanya berselingkar di DUN Bota. Dan kenapa Bota?

4. Pegawai kerajaan yang terbabit adalah "orang kerajaan" di konstituensi Bota. Begitu juga dengan pimpinan parti kita. Para perancangan strategik "mehnah dan tipu helah" menjadikan Bota sebagai tempat sasarannya.

5. Pasti bagi mereka formula kejatuhan kuasa politik BN di Malaysia secara teori domino akan diperhebatkan di Perlis, Pahang dan Negeri Sembilan setelah koridor kuasa politik rakyat menjalar dari Kedah, P.Pinang, Perak, W.Persekutuan KL, Selangor dan Kelantan.

6. Kata Ketua Konspirator Golongan X: "Kuasa politik Rakyat di Perak mesti dirampas! Jika tidak nanti kita semua akan meringkuk di dalam penjara kerana jenayah salah laku rasuah yang melampau." "Untuk itu senjata kita seterusnya adalah 'Rasuah'. Ayuh! Kita jadikan orang mereka sebagai pengamal rasuah.", tegas Ketua Konspirator itu lagi.

7. Akhirnya, skrip Bab 1 untuk memerangkap orang kita sebagai "pengamal rasuah" telah berjaya. Wakil Rakyat kita juga telah terjatuh di dalam lubang perangkap yang sama. Konspirator Golongan X menarik nafas lega.

8. Di dalam plot yang lain di Bab 2, seorang Wakil Rakyat BN yang juga Wakil Rakyat Bota pada masa itu bertelagah besar dengan ketuanya di peringkat Bahagian dan Negeri. Beliau terhimpit dan dihimpit oleh persoalan kewangan kerana beliau dianaktirikan dalam pelbagai sudut dan keadaan. Dia juga "ditekan" dan ditembungkan dengan persoalan ketahanan mental.

9. Dan berikutan dari itu, Ketua BN di Perak diberikan tugasan khas untuk memantau kesemua ADUN BN agar tidak melompat atau meninggalkan parti BN sedang pada masa yang sama berlaku gawat politik di kalangan Adun-Adun BN.

10. Sketsa Rampasan Kuasa Politik di Perak bermula dengan "umpanan" Wakil Rakyat Bota ke gawang kita sebagai "Trojan Horse". Keadaan pada masa ini amat kritikal sehinggakan sukar untuk kita menilai kejujuran seseorang dan "orang-orang yang tersebut" semuanya sanggup menggunakan institusi "Sumpah Di Atas Nama Allah" untuk menyatakan bahawa mereka berkata dengan penuh kejujuran.

11. Licik juga perang saraf yang diketuai oleh Ketua Konspirator Golongan X; kita tidak dapat tidak terkabur angka seketika dalam pola 32:27. Wakil Rakyat Bota itu dengan jelas dan terang berkata: "Emak saya tidak pernah mengajar saya menipu", dan didengari dengan jelas ribuan orang kita di Stadium Bakri Rais yang menjadi saksi pengakuannya.

12. Dua orang Wakil Rakyat kita rupanya telah dari awal diculik secara senyap dan mereka pasti bingung tentang situasi dan keadannya. Tangan mereka telah diikat oleh kes rasuah yang mana pada masa itu mereka dan kita tiadapun mengetahui pada hakikatnya "Plot Kes Rasuah" itu adalah suatu perangkap yang diatur dalam jerat yang di panggil "Jerangkap Samar".

13. Saya akan bercerita lagi tentang ini kemudiannya; tentang bagaimanakah episod cerita ini seterusnya. Kerana apa yang ingin diutarakan ialah "mehnah dan tipu helah" adalah gugatan dan gangguan yang diatur oleh "golongan Syaithan" di dalam usaha untuk merosakkan manusia.

14. Dari Bota ke Gaza. Saya bersama rakan perjuangan di Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) telah dengan seriusnya menjalinkan ikatan ukhuwah di atas nama Jihad Fi Sabilillah bersama sahabat pejuang Palestine di Gaza. Jelas dan terang kezaliman ke atas manusia di bumi Palestine dilakukan oleh Rejim Israel Zionisme. Tangisan dan darah mengalir di bumi suci Gaza.

15. Di Timur dunia, di negeri Perak, kita melihat rakyat bangkit menentang kezaliman. Secara demokrasi pada PRU 12, rakyat menolak kuasa politik BN yang zalim. Dan di Gaza juga, hal yang sama berlaku. Kisah di atas yang saya ceritakan adalah bagaimana "akal dan budi" kita telah diserang ganas dengan senjata "mehnah dan tipu helah". Kuala Kangsar pula adalah gambaran yang dapat disaksikan secara bukti penglihatan. Rakyat Bangkit menolak kezaliman kuasa politik BN yang merampas kuasa politik yang dimiliki oleh rakyat secara demokrasi di negeri Perak.

16. Rakyat tidak sama sekali menolak institusi kesultanan kerana protes itu bukanlah kepada Istana; mesej yang jelas ianya adalah suatu amaran dan protes secara tegas kepada golongan perampas.

17. Insiden Kebangkitan Rakyat di Kuala Kangsar amat difahami oleh orang yang tersangat penting di Istana Iskandariah pada masa ini. Beliau adalah seorang yang amat bijaksana. Beliau tahu bahawa Rakyat Perak telah bangkit di atas nama kebenaran. Beliau juga tahu Allah akan bersama orang-orang yang benar. Akhir bicara, ingatlah semua pembaca yang budiman, "Sesungguhnya Pertolongan Allah itu amat dekat".

Hijrah Bota! Rakyat Bangkit, Bota Berubah.

Konstituensi DUN Bota - Pembangunan Rohani adalah asas kepada Pembangunan Jasmani

1. Diri kita sebagai manusia terbahagi kepada Rohani dan Jasmani atau di dalam Bahasa Arabnya disebut sebagai Roh dan Jasad. Demikianlah kejadian manusia sebagaimana disebutkan di dalam Al Qur'an.

2. Demikianlah juga jika kita bicarakan tentang bentuk pembangunan sesebuah masyarakat di dalam sesuatu kawasan atau konstituensi. 

3. Konstituensi DUN Bota ditandai sebagai N39 dibahagikan kepada 16 Daerah Mengundi. Kini anggaran pengundi di DUN Bota mencecah kepada angka lebih kurang 18,000 orang pengundi. Meskipun demikian, data ini perlu diperhalusi kesahihannya. Barangkali ada data yang bila disemak di Laman Sesawang SPR kita tidak menjumpai sebarang rekod tentang pengundi tersebut. Ada juga nanti menunjukkan datanya di Konstituensi yang lain.

4. Adalah menjadi tugas kita semua untuk menyemak hal ini secara bersama kerana kita akan nantinya berhadapan dengan suatu proses demokrasi iaitu Pilihanraya Umum ke 13 bagi memilih seorang dari kalangan kita untuk dilantik sebagai ahli Perundangan di dalam Dewan Undangan Negeri Perak.

5. Bagi seseorang yang akan memikul tugas sebagai seorang ahli Perundangan nanti hendaklah meneliti dua aspek penting di dalam pembangunan sesuatu konstituensi yang diwakilinya. Iaitu Pembangunan Rohani dan Pembangunan Jasmani.

6. Di dalam sistem pendidikan di Malaysia hari ini, arus perdana membahagikan tiga tahap pendidikan yang rata-ratanya akan dilalui oleh majoriti rakyat iaitu pendidikan rendah, menengah dan pengajian tinggi. Bagaimanapun masih ada banyak lagi institusi yang menjalankan Pendidikan Berterusan atau Continuing Education samada secara formal atau pun tidak.

7. Saya melihat Pembangunan Rohani adalah aspek yang amat penting diperhebatkan di konstituensi DUN Bota. Di DUN Bota, premis Ibadah amat mencukupi dari segi fizikalnya, namun pengisian kerohanian agak sangat kurang memberangsangkan. 

8. Soal Pembangunan Kerohanian hendaklah menjadi tugasan yang amat penting dan paling utama bagi seseorang Ahli Perundangan atau biasanya disebut sebagai "Wakil Rakyat" DUN Bota.

9. Sesiapa sahaja yang telah pun menyumbang kepada pengasasan, kewujudan, pembangunan dan penjagaan premis Ibadah kita iaitu Masjid hendaklah diberikan kredit yang baik. Namun janganlah sama sekali ada manusia yang menjadikan usahanya yang terdahulu sebagai suatu "ego-politik" atau political-ego bahawa mereka telah mengadakannya.

10. Ingatlah sekalian, Masjid adalah Baitullah atau Rumah Allah. Adalah menjadi tanggung jawab kita semua membangunkannya sehingalah kepada memakmurkannya.

11. Saya akan memilih untuk memakmurkan Masjid-masjid (dan juga Surau-surau) yang berada di kawasan DUN Bota. Pengisian kepada program-program Ilmu (keutamaan kepada Ilmu Wahyu) ke dalam Masjid dan Surau secara lebih pesat akan menjadi agenda yang akan kita laksanakan bersama.

12. Seterusnya, ikatan persaudaraan Sillatur Rahmi akan kita perkukuhkan di kalangan kita sehinggalah terlihat suatu ikatan Jemaah yang teguh di kalangan masyarakat di dalam DUN Bota. Ayuh kita tanam suatu wawasan untuk melihat Masjid dan Surau dimakmurkan dengan hebat dan seterusnya jumlah Jemaahnya bertambah dari hari ke hari.

13. Inilah wawasan politik (siyaasi) kita, tidak kira baju parti apa yang kita pakai. Masyarakat yang memiliki Iman yang teguh akan dapat membuat perubahan kepada Pembangunan Jasmani atau Pembangunan Fizikal bagi sesuatu kawasan geografi.

Hijrah Bota! Rakyat Bangkit, Bota Berubah.

Thursday 20 December 2012

Pilihanraya bukan untuk "menukar kerajaan"

1. Kita bukannya mengamalkan demokrasi melalui sistem pilihanraya untuk "menukar kerajaan" atau "change the governement". 

2. Pilihanraya bukanlah proses demokrasi untuk "menukar kerajaan". Yang berlangsung di dalam pilihanraya ialah proses demokrasi untuk memilih ahli perundangan di kalangan rakyat yang menawarkan diri untuk bertanding. 

3. Sebelum dan selepas sesuatu pilihanraya kerajaan kita adalah Kerajaan Malaysia dan Kerjaan Negeri yang berkaitan. 

4. Parti BN telah melakukan "misleading" dengan menggunakan istilah "Kerajaan BN". Jika kita pula mengunakan peristilahan "Kerajaan PR Selangor", kepenggunaan sebegini juga salah dari segi teknikalnya. Begitu juga jika kita menggunakan peristilahan "Kerajaan PAS Kelantan". Lebih tepat dari segi teknikalnya ialah - Kerajaan Negeri Kelantan yang dipimpin oleh ahli-ahli Perundangan di kalangan ahli/pimpinan parti PAS.

Hijrah Bota! Rakyat Bangkit, Bota Berubah.

Monday 10 December 2012

Hijrah Bota

Salam Hijrah. 

Moga Rakyat Bota segera bangkit dan melakukan perubahan. Kebangkitan rakyat telah berlaku di mana-mana sahaja di dunia ini. Rakyat menuntut perubahan demi kebaikan semua rakyat.Perubahan kepemimpinan   di dalam begitu banyak pemimpin perundangan yang juga pemimpin eksekutif di dalam kerajaan berdaulat di Timur Tengah memberikan suatu petanda bahawa kepemimpinan dunia juga menuntut perubahan yang sama.

Bagi negara yang mengamalkan sistem demokrasi, rakyat adalah penentu halatuju kepemimpinan bagi negara tersebut. Malaysia juga mengamalkan sistem demokrasi. Cuma demokrasi di Malaysia adalah berparlimen dengan acuan Sistem Raja berPerlembagaan.

Pemimpin perundangan di dalam Dewan Rakyat dipilih secara demokrasi oleh rakyat. Begitu juga pemimpin perundangan di Dewan Undangan Negeri Perak.

Tempoh kepimpinan bagi Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri yang dipilih oleh rakyat adalah selama lima tahun. Selepas tamatnya tempoh tersebut, maka Dewan Undangan Negeri hendaklah dibubarkan dan satu pemilihan umum yang baru hendaklah dilaksanakan. Pada masa ini kuasa penentu halatuju kepimpinan sesebuah Kerajaan Negeri terletak sepenuhnya di tangan rakyat untuk menentukan siapakah wakil mereka yang sepatutnya dipilih sebagai Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri.  

Saya amat percaya dan yakin bahawa saudara-saudara saya dan kesemua rakan taulan yang juga adalah pengundi di Kawasan DUN N39 Bota mahukan perubahan. Kita menuntut perubahan kerana kita semua mahukan suatu bentuk kepemimpinan yang telus, adil, berhemah dan penuh kebijaksanaan. Kita semua menolak amalan rasuah dan penindasan yang berlaku di dalam kepemimpinan kerajaan masa kini kerana ianya dipandu oleh barisan ahli-ahli perundangan yang tidak peka kepada soal amanah, tanggungjawab ketelusan dan keadilan di dalam menjalankan tugas mereka sebagai pemimpin perundangan. Justeru kalangan mereka yang juga ahli-ahli kepada Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri telah sama menyetujui samada berleluasanya amalan rasuah, salah urustadbir dan ketirisan di dalam melaksanakan tugas eksekutif sebagai pemimpin yang menentukan polisi, dasar dan halatuju kepimpinan kerajaan negeri.

Ayuh Rakyat Bota sekalian. Marilah kita bangkit dan segera berhijrah. Dari pasung ketidakadilan oleh pemimpin yang zalim kita bebaskan minda dan jiwa rakyat yang terpasung itu kepada minda yang wibawa dan jiwa yang merdeka.

Saya amat yakin dan percaya bahawa rakyat Bota akan bangkit.Kerana jika rakyat bangkit, Bota akan berubah.

Hijrah Bota! Rakyat Bangkit, Bota Berubah.

Saturday 17 November 2012

Terima kasih kepada rakan FB sekalian

Salam Hijrah

Saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada sahabat yang sudi menjadi Rakan FB, bagaimanapun akaun FB saya berhadapan dengan "temporary suspension" oleh pihak FB ...

Saya menggunakan medium di blogspot untuk memberikan respons kepada sahabat FB

Walaikum Salam. Insha Allah kepakaran yang ada pada puan boleh dikongsi bersama. Barangkali juga industrri tumbuhan herba ini boleh dijayakan di Bota.

Waalaikum Salam semua. Salam Perjuangan dan Salam Hijrah. Terima kasih kerana sudi menjadi rakan FB saya.